LORI BERTEMBUNG, SEORANG PEMANDU PARAH TERSEMPIT

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 29 Sept – Seorang lelaki berusia 31 tahun cedera parah selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan dua buah lori di Jalan Sakilan Desa, Batu 21 Sandakan, awal pagi tadi.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan mengenai insiden itu diterima pada jam 5.02 pagi melalui talian MERS999.

Sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan digerakkan ke lokasi sejauh 34 kilometer dengan sebuah jentera FRT dan sebuah unit EMRS, diketuai Komander Operasi, PBK I Alan Ayuh.

“Sebaik tiba di lokasi pada jam 5.39 pagi, pasukan bomba mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori minyak dan sebuah lori baja. Seorang lelaki didapati tersepit di tempat duduk pemandu lori baja,” katanya dalam kenyataan.

Pasukan bomba bertindak menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa dan berjaya membawa keluar lelaki tersebut pada jam 7.35 pagi dalam keadaan cedera parah.

Mangsa kemudian diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS bomba sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut.

Turut berada di lokasi ialah empat anggota polis dan tiga petugas KKM yang membantu menguruskan operasi.

Operasi dikawal sepenuhnya pada jam 7.40 pagi dan ditamatkan enam minit kemudian setelah keadaan di lokasi disahkan selamat.

TAMAT

Share This Article