KOTA KINABALU: UMNO membuat kejutan apabila menilih dan melantik Datuk Jafry Arifin sebagai pengerusi UMNO Sabah.
Pelantikkan itu mengetepikan Datuk Rahman Dahlan yang sebelum ini merupakan timbalan pengerusi.
Selain Jafry, UMNO juga mengumumkan Datuk Hasnol Ayub sebagai timbalan pengerusi dan Haji Sanasuddin Yusop sebagai setiausaha.
Jafry dilantik bagi menggantikan Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yang meninggal dunia Jumaat lalu.
Rahman pula yang diganti oleh Hasnol menarik diri sebagai calon pada pilihan raya umum lalu.
Pelantikan itu dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selaras Fasal 12.5 Perlembagaan UMNO.
Kenyataan media ditandatangani Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelantikan berkenaan bertujuan memastikan gerak kerja parti di Sabah dapat dikoordinasikan secara lebih tersusun dan berkesan.
UMNO turut menyeru seluruh kepimpinan dan ahli parti agar memberi sokongan penuh kepada barisan kepimpinan baharu itu demi memastikan parti terus dapat berkhidmat kepada rakyat serta mendukung kerajaan Negeri Sabah.
TAMAT
