KOTA MARUDU, 14 MEI- Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kota Marudu menahan dua lelaki tempatan dan merampas puluhan botol air ketum dalam dua serbuan berasingan, semalam.
Serbuan pertama kira-kira jam 10 pagi di sebuah premis cuci kereta di Kampung Radu membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 34 tahun selepas polis menemui sebotol minuman disyaki mengandungi air ketum.
Hasil siasatan kemudian membawa kepada serbuan kedua di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tinondokan Bodi kira-kira jam 12.30 tengah hari dengan seorang lagi lelaki berusia 28 tahun turut diberkas.
Pemeriksaan lanjut menemui 40 botol air mineral berisi cecair disyaki air ketum selain peralatan memasak dan tong penyimpanan dipercayai digunakan untuk memproses bahan terbabit.
Kedua-dua suspek dibawa ke IPD Kota Marudu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
