Lima Individu Didenda RM2,000 Setiap Seorang Kerana Merokok di Kawasan Larangan

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU,6 FEBRUARI-Seramai lima individu dikenakan denda sebanyak RM2,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Lahad Datu hari ini selepas didapati bersalah melakukan kesalahan merokok di kawasan larangan di bawah Perenggan 16(2), Akta 852 – Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.

Kes-kes berkenaan disebut dan diputuskan di hadapan Majistret Tuan Nur Asyraf bin Zolhani dengan pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa PPKP Mohd. Hanif bin Jaafar.

Individu yang terlibat ialah Chung Kam Leong, Mohd Norazri bin Hassan, Mohd Sazlan bin Mohammad serta Mohd Jalil bin Sahid yang menghadapi dua pertuduhan berasingan, melibatkan lima kertas pertuduhan berbeza.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 bagi setiap kes dan sekiranya gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjarakan selama satu bulan bagi setiap kesalahan.

Kesemua kesalahan tersebut melibatkan tindakan merokok di kawasan larangan yang dikuatkuasakan di bawah undang-undang kesihatan awam, hasil operasi dan siasatan oleh pegawai-pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di daerah ini.

Mahkamah turut dimaklumkan bahawa bagi kesalahan di bawah peruntukan tersebut pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes ini mencerminkan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam memperketatkan penguatkuasaan undang-undang kesihatan awam khususnya berkaitan larangan merokok di tempat awam demi melindungi kesejahteraan masyarakat.

TAMAT

Share This Article