UNIT TASK FORCE DUN KARAMUNTING BANTU ATASI SISTEM PENYAMPAIAN

sabahheadlines
2 Min Read

SH@Jalie Mohamad

SANDAKAN : Unit Aduan Task Force DUN Karamunting terus diperkasa bagi membolehkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat di kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin berkata unit itu akan bertindak pantas dengan kerjasama pasukan sukarelawan yang telah diaktifkan bagi tujuan mengenal pasti permasalahan rakyat terutama isu kemudahan asas.

Bagi menjadikan unit lebih berkesan, wakil rakyat itu telah melantik Ricky Voon sebagai Timbalan Ketua unit berkenaan.

“Ricky Voon mempunyai pengalaman luas dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan amat memahami keperluan komuniti setempat.

“Saya yakin operasi Task Force Team akan menjadi lebih tersusun dan berkesan, terutama dalam aspek penyelarasan dan tindakan susulan terhadap aduan,” kata Datuk George yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah Karamunting.

Kawasan DUN Karamunting yang merangkumi Bandar Ramai-Ramai, Bandar Leila, Bandar Nam Tung, serta kampung-kampung seperti Kampung Air, Kampung Bokara dan Kampung Karamunting sering berdepan pelbagai isu seperti kerosakan infrastruktur, tanah runtuh, lampu jalan rosak, longkang tersumbat, gangguan bekalan air dan elektrik serta liputan telekomunikasi yang tidak stabil.

“Kami sedar ada aduan yang memerlukan masa untuk diselesaikan kerana melibatkan proses rasmi dan kerjasama pelbagai agensi teknikal seperti pihak berkuasa tempatan, SESB, Jabatan Air Negeri Sabah dan syarikat telekomunikasi. Namun, kami komited untuk memberi keutamaan dan tindakan susulan terhadap setiap aduan yang diterima,” tambahnya.

George menyeru penduduk agar memanfaatkan saluran aduan sedia ada termasuk hadir ke Pusat Khidmat ADUN, menghubungi talian rasmi, atau melaporkan isu melalui media sosial supaya tindakan segera dapat diambil.

Tamat

Share This Article