GENG PECAH RUMAH & CURI MOTOSIKAL TUMPAS TERMASUK REMAJA DITAHAN.

sabahheadlines
3 Min Read

LAHAD DATU, 18 JULAI-Polis disini berjaya menyelesaikan rantaian jenayah harta benda susulan penahanan enam suspek dalam beberapa siri serbuan berasingan bermula 15 hingga 17 Julai lalu.

Tangkapan tersebut melibatkan empat lelaki warga tempatan serta dua lelaki warga asing yang dipercayai mendalangi beberapa siri kes pecah rumah, curi dan kecurian motosikal di sekitar kawasan perumahan utama.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Haji Dzulbaharin bin Haji Ismail berkata hasil risikan,siasatan dan tindakan operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lahad Datu berjaya menyelesaikan beberapa kes kecurian harta benda yang dilaporkan oleh penduduk setempat baru-baru ini.

Katanya, siri tangkapan pertama bermula pada 15 Julai lalu apabila pihak polis menahan seorang lelaki tempatan berumur 53 tahun dan seorang warga asing berusia 32 tahun.

Kedua-dua suspek disyaki terlibat secara langsung dalam siri kes pecah rumah di lima lokaliti berbeza iaitu Taman Aman, Taman Aman Jaya 3, Taman Gembira, Taman Harapan, dan Kampung Sharip.

Siasatan lanjut ke atas kedua-dua suspek membawa kepada tangkapan susulan pada 17 Julai 2026, di mana seorang lagi suspek warga tempatan berusia 26 tahun berjaya diberkas.

Suspek ketiga ini dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di kawasan perumahan Palm Height.

Dalam serbuan tersebut, polis turut menyita sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipercayai digunakan sebagai kenderaan operasi bagi melakukan jenayah.

Dalam pada itu, menerusi operasi berasingan yang dijalankan pihak polis turut menahan tiga orang remaja lelaki.

Dua daripadanya yang berusia 15 dan 16 tahun ditahan selepas didapati memiliki sebuah motosikal yang telah diubah suai tanpa dokumen dan gagal memberikan keterangan munasabah mengenai pemilikan kenderaan tersebut

Manakala seorang lagi remaja berusia 17 tahun ditangkap bersama sebuah motosikal jenis Yamaha C100.

Pemeriksaan rekod mendapati motosikal berkenaan merupakan kenderaan yang dilaporkan hilang oleh pemiliknya pada 16 Julai 2026.

Kesemua enam suspek kini ditahan reman bagi membolehkan siasatan komprehensif dijalankan di bawah peruntukan undang-undang berikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (Pecah rumah), Seksyen 379 Kanun Keseksaan (Mencuri), Seksyen 379A Kanun Keseksaan (Mencuri motosikal), Seksyen 22A(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Negeri Sabah (Memiliki motosikal tanpa keterangan munasabah.

“Kejayaan ini merupakan hasil komitmen berterusan pegawai dan anggota JSJ IPD Lahad Datu dalam membanteras jenayah harta benda serta memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terperlihara.

PDRM memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti jenayah,” tegasnya.

Sehubungan itu pihak polis turut menyeru orang ramai agar sentiasa peka dan terus menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan sekitar mereka.

Share This Article