Zara Qairina: Kerajaan Pastikan Siasatan Telus

sabahheadlines
2 Min Read

sh@ Syarmillah Salleh

LAHAD DATU, 1 Sept – Kerajaan akan memastikan siasatan kes Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dijalankan secara telus dan adil.

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat (Gagasan) Silam, Datuk Mizma Appehdullah turut melahirkan rasa simpati kepada keluarga Allyarhamah Zara Qairina.

“Kerajaan negeri akan memastikan siasatan kes berkenaan dijalankan secara telus dan adil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Penyampaian Taklimat Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sakar, Kampung Tanjung Paras, Pulau Sakar, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan PGRS Bahagian N.62 Silam, Rosly Sawal, Ketua Beliawanis PGRS N.62 Silam Marina Appehdullah dan Ketua PDM Sakar, Abdullah Mail.

Mizma menyeru seluruh pengundi di kawasan itu supaya bersatu hati menyokong calon GRS pada PRN ke-17 akan datang demi memastikan kesinambungan pembangunan.

Beliau turut menegaskan bahawa GRS sentiasa dekat dengan rakyat malah kejayaan Kampung Sharif dan Kampung Teluk Suaoin yang diiktiraf sebagai perkampungan rasmi adalah bukti komitmen kerajaan terhadap pembangunan luar bandar.

“Sekiranya GRS terus diberi mandat saya akan memperjuangkan pengiktirafan serupa bagi Pulau Sakar,” katanya.

Sementara itu, Abdullah Mail dalam ucapannya menyatakan bahawa penduduk Sakar menginginkan Mizma menjadi wakil rakyat kerana percaya beliau mampu membawa perubahan yang lebih baik selepas pengalaman sebelum ini menyokong Parti Warisan.

Dengan kekuatan pengundi di kawasan berkenaan, beliau yakin GRS mampu menang besar pada PRN akan datang.

TAMAT

Share This Article