Nelayan hilangSungai Serusup

sabahheadlines
1 Min Read

sh@ Syarmillah Salleh

TUARAN, 1 Sept – Seorang lelaki hilang selepas tidak pulang ke rumah sejak keluar memukat ikan di kawasan muara Sungai Serusup di sini, pagi Sabtu lalu.

Mangsa, Husaini Saidin, 34, dilaporkan keluar memukat sekitar jam 4.30 pagi, 30 Ogos lalu, namun tidak kembali sehingga menimbulkan kebimbangan ahli keluarga.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, PBK II Easter Hassan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.19 tengah hari hari ini daripada ahli keluarga mangsa selepas usaha mencari bersama penduduk kampung sejak semalam menemui jalan buntu.

“Bot mangsa ditemui penduduk kampung terdampar di tebing muara dalam keadaan rosak. Keadaan cuaca bergelora dan angin kencang dipercayai menyukarkan operasi awal,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan dengan kekuatan 12 anggota membabitkan BBP Tuaran, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Kota Kinabalu, serta bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penduduk kampung.

“Pencarian dijalankan dalam radius 15 kilometer meliputi kawasan pesisir pantai dengan menggunakan dua bot serta kaedah pencarian darat. Operasi ditangguhkan pada jam 6 petang dan akan disambung esok,” jelasnya.

Setakat ini, mangsa masih belum ditemui.

TAMAT

Share This Article