PENAMPANG, 18 Feb — Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Hyundai terbakar kira-kira 50 peratus di bahagian enjin dan papan pemuka dalam kejadian di kawasan taman hiburan berhampiran Cempaka Square di sini malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada jam 9.30 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang tiba di lokasi kira-kira enam minit kemudian pada jarak empat kilometer.
Komander Operasi, PBK I Callixtus Fedilis, memaklumkan pasukan bomba bertindak menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran hose reel dengan sumber air daripada jentera bomba.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.40 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.50 malam selepas pasukan memastikan tiada lagi risiko bahaya di lokasi kejadian.
Seramai lima anggota bersama sebuah jentera FRT terlibat dalam operasi tersebut manakala dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di lokasi bagi membantu kawalan keadaan.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.
TAMAT
