SANDAKAN, 23 Feb – Sambutan hari keenam Tahun Baharu Cina di sini diserikan dengan persembahan tarian singa, singa utara dan naga yang berlangsung di Pasar Sentral Sandakan, sekali gus menceriakan suasana perniagaan dan menarik kehadiran orang ramai.
Program anjuran Parlimen Sandakan itu menyaksikan paluan gendang bergema di ruang pasar, manakala aksi bertenaga pasukan tarian tradisional berkenaan menghidupkan suasana perayaan dalam kalangan peniaga serta pengunjung. Persembahan tersebut bukan sahaja menyemarakkan sambutan, malah memberi suntikan semangat kepada komuniti setempat.
Ahli Parlimen Sandakan, YB Vivian Wong Shir Yee, berkata penganjuran program seumpama itu bertujuan merapatkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat di samping memeriahkan perayaan bersama warga bandar ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat, YB Alex Thien, yang membantu mengatur penyertaan pasukan tarian singa serta menyampaikan ucapan Tahun Baharu kepada orang ramai.
Menurut penganjur, semangat kebersamaan tanpa mengira perbezaan latar belakang menjadi teras sambutan berkenaan, dengan harapan tahun baharu ini membawa limpahan rezeki, kesihatan dan kesejahteraan kepada seluruh masyarakat.
TAMAT
