ESSCOM TAHAN SUSPEK, GAGALKAN PENYELUDUPAN MINYAK MASAK BERSUBSIDI DAN PETROL BERNILAI LEBIH RM100,000

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 14 JUN — Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) telah berjaya mematahkan cubaan menyeludup 2,380 paket minyak masak bersubsidi dan 150 liter petrol bernilai keseluruhan RM101,508 dalam satu operasi khas di kawasan sungai Jipon, Jalan Datuk Tay di sini pada malam Jumaat.

Menurut Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos, operasi bernama OP TIRIS 4.0 dilaksanakan kira-kira jam 10:30 malam berdasarkan maklumat risikandengan kerjasama Unit Tindakan Khas (UTK) Markas Taktikal (MARTEK) Sandakan.

Semasa pemeriksaan, anggota keselamatan mengesan 140 beg plastik hitam di kawasan daratan dan sebuah bot yang mencurigakan berlabuh di jeti tersebut. Didapati dua lelaki berada di daratan dan tiga lagi berada di atas bot.

Apabila pasukan membuat serbuan, seorang lelaki di daratan berjaya ditahan, manakala rakannya melarikan diri.

Tiga suspek di atas bot pula terjun ke sungai dan meloloskan diri ke kawasan hutan bakau berhampiran tanpa dapat dikesan.

Pemeriksaan lanjut mengesahkan barang yang disembunyikan itu terdiri daripada 2,380 paket minyak masak bersubsidi dan lima tong jerikin berisi 150 liter petrol, yang disyaki hendak diseludup ke negara jiran.

Suspek yang ditahan bersama kesemua barang rampasan telah diserahkan kepada Balai Polis serta Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan susulan. Kes ini disiasat di bawah Akta Imigresen 1953/69 (Akta 155) dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Datuk Victor menegaskan bahawa ESSCOM, bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), akan terus melaksanakan operasi bagi membanteras penyelewengan dan penyeludupan barang bersubsidi di kawasan Pantai Timur Sabah.

Langkah ini diambil bagi memastikan bekalan penting kekal mencukupi untuk rakyat tempatan serta melindungi kepentingan ekonomi negara.

Share This Article