SABAH ELECTRICITY GIAT PULIHKAN BEKALAN ELEKTRIK DI PANTAI TIMUR

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU,28 November – Sabah Electricity sedang berusaha sedaya upaya untuk memulihkan sepenuhnya bekalan elektrik di kawasan Pantai Timur Sabah yang terjejas susulan kejadian menara penghantaran elektrik tumbang di Ranau.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kerja-kerja pembinaan semula menara berkenaan dijangka selesai dalam tempoh enam hari, sekali gus membolehkan bekalan elektrik kembali pulih sepenuhnya.

Beliau berkata, penduduk di kawasan terjejas ketika ini sudah menerima bekalan elektrik menerusi sumber simpanan dan penjana set sementara meskipun masih terdapat beberapa kawasan yang mengalami kekurangan bekalan.

Menurutnya, menara berkenaan dijangka siap dalam tempoh enam hari manakala penggunaan sumber simpanan lain akan diteruskan sementara kerja-kerja pemulihan dilaksanakan.

Katanya, Sabah Electricity sedang berusaha menyelesaikan masalah berkenaan sebaik mungkin demi memastikan keperluan rakyat di kawasan Pantai Timur terus diberi perhatian.

Hajiji berkata, kejadian menara penghantaran elektrik tumbang itu berpunca daripada bencana alam dan bukannya disebabkan perbuatan yang disengajakan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada usaha jangka panjang memperkukuh bekalan tenaga elektrik di Sabah menerusi pembangunan pelbagai sumber tenaga boleh diperbaharui.

Katanya, kerajaan negeri telah meluluskan hampir 3,000 megawatt kapasiti tenaga di Sabah termasuk mini hidro, solar dan turbin angin.

Daripada jumlah itu, tambahan lebih 1,000 megawatt dijangka dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun manakala selebihnya akan disiapkan menjelang 2030.

Beliau berkata, kerajaan negeri amat bersimpati dengan penduduk Pantai Timur yang terpaksa berdepan gangguan bekalan elektrik dan memberi jaminan segala usaha sedang dilaksanakan bagi memulihkannya.

Hajiji turut berharap penduduk di kawasan terjejas dapat memahami keadaan semasa memandangkan bekalan elektrik sudah disalurkan melalui sumber alternatif sementara kerja-kerja pembaikan dilaksanakan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Sabah Electricity mempercepatkan kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah susulan kejadian menara penghantaran elektrik T313 tumbang di Ranau.

Anwar turut meminta supaya bekalan elektrik sementara disediakan dengan memberi keutamaan kepada sekolah, pusat peperiksaan dan kemudahan awam kritikal khususnya bagi membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang menduduki peperiksaan.

Share This Article