SANDAKAN, 5 Februari 2026 – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan bertindak pantas selepas menerima panggilan kecemasan mengenai penemuan seekor ular sawa yang dipercayai bersembunyi di bawah ruang dapur sebuah rumah penduduk di kawasan Sandakan, awal pagi tadi.
Menurut APM Sandakan, sepasukan anggota daripada Skuad Alpha telah digerakkan ke lokasi kejadian pada jam 6.42 pagi bagi menjalankan operasi menangkap reptilia berkenaan.
Operasi yang dilaksanakan secara berhati-hati itu berjaya menumpaskan ancaman apabila ular sawa tersebut ditangkap dengan selamat pada jam 7.54 pagi.
Ular berkenaan dianggarkan seberat kira-kira enam kilogram dengan panjang sekitar satu meter.
Tiada sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan sepanjang operasi dijalankan.
APM Sandakan turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya berdepan situasi melibatkan haiwan berbahaya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
TAMAT
