LABUAN, 4 Okt 2025 (Sabtu) – Seramai 15 pendatang tanpa izin ditahan oleh Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Labuan dalam operasu penguatkuasaan.
Mereka adalah antara 38 orang yang diperiksa dalam operasi itu di beberapa lokasi di sini.
Pengarah JIM Wilayah Persekutuan Labuan, Tuan Raymond Entalai, berkata operasi berkenaan dijalankan berasaskan risikan dan maklumat awam.
“JIM Labuan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen. Tindakan tegas akan diambil terhadap PATI termasuk majikan atau individu yang menggaji serta melindungi mereka.
Orang ramai juga digalakkan menyalurkan maklumat bagi membantu pihak kami dalam usaha mengekang kemasukan dan keberadaan PATI di Labuan,” katanya.
PATI yang ditahan terdiri daripada empat lelaki, tiga perempuan, tiga kanak-kanak perempuan dan empat kanak-kanak lelaki warga Filipina, serta seorang lelaki warga Indonesia, berusia antara satu hingga 39 tahun.
Selain itu satu notis saman kepada saksi turut dikeluarkan.
Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa, JIM W.P. Labuan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
Operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan bagi mengesan, menangkap, mendakwa dan memindahkan warganegara asing yang melanggar undang-undang negara di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
TAMAT
