TAWAU, 5 Feb – Polis menahan seorang lelaki dipercayai warga asing selepas disyaki mengamuk dan mencetuskan kekecohan di kawasan Kampung Titingan, di sini, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 10.30 malam sebelum sepasukan anggota Pondok Polis Kawasan (PPK) Titingan digerakkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, suspek berjaya diberkas sebelum dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tawau bagi menjalani ujian saringan air kencing.
“Hasil ujian awal mendapati lelaki berusia lingkungan 30-an itu positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Pemeriksaan lanjut turut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
TAMAT
