KOTA KINABALU, 4 Feb 2026 – Usaha memperkasa tadbir urus serta meningkatkan kualiti kawal selia di Sabah terus diperkukuh menerusi Sesi Perbincangan Good Regulatory Practice (GRP) Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 yang berlangsung di Menara Kinabalu, semalam.
Sesi perbincangan itu dipengerusikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran), YBhg. Datuk Norlijah binti Hj. Danin, dengan taklimat GRP Sabah disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS), Puan Celestina Aron.
Turut hadir ialah Pengarah Badan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sabah, Encik Edward Binty; Pengarah Bahagian Governan dan Korporat JPANS, Puan Herlina binti Makanah; wakil Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah, Puan Devina Teo serta pegawai-pegawai kanan jabatan berkaitan.
Perbincangan memberi tumpuan kepada perkembangan semasa pelaksanaan GRP selain membincangkan hala tuju strategik bagi memperkukuh amalan terbaik kawal selia, selaras dengan usaha menyokong pertumbuhan ekonomi negeri yang lebih mampan.
Dalam perkembangan berkaitan, sesi tersebut turut menyaksikan penyerahan tugas dan tanggungjawab Jawatankuasa Teknikal serta Sekretariat GRP Sabah daripada Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri kepada Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran).
Datuk Norlijah berkata peralihan itu merupakan langkah strategik bagi memusatkan fungsi sekretariat sekali gus meningkatkan penyelarasan dasar antara agensi pusat dan teknikal agar lebih berkesan.
Beliau turut menegaskan penglibatan rakan strategik seperti MPC serta wakil Jabatan Peguam Besar Negeri membuktikan komitmen bersama dalam memastikan setiap peraturan yang digubal di Sabah lebih berkualiti dan menyokong aspirasi Sabah Maju Jaya.
Dengan penyerahan itu, Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran) kini memainkan peranan utama dalam memacu pelaksanaan GRP di seluruh kementerian dan jabatan negeri.
TAMAT
