KUNAK, 25 OGOS – Tiga individu maut manakala tiga lagi cedera selepas sebuah Perodua Viva terbabas sendiri dalam kemalangan jalan raya di Kampung Sungai Atas, Jalan Sungai Atas, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.05 petang itu, enam mangsa ditemukan berada di luar kenderaan terbabit selepas kenderaan berkenaan dipercayai terbabas di atas jalan raya.
Tiga mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala tiga lagi mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Kunak menggunakan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak yang menerima panggilan pada jam 6.05 petang tiba di lokasi lima minit kemudian dengan kekuatan empat anggota bersama sebuah jentera FRT.
Menurut Komander Operasi, PBK II Abdul Jatin Mohd Jahiri tiada operasi menyelamat dijalankan pihak bomba kerana semua mangsa telah berada di luar kenderaan ketika pasukan tiba.
“Pasukan bomba hanya menjalankan pemeriksaan dan mengambil maklumat di lokasi kejadian bagi memastikan tiada bahaya lain yang wujud.
“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kunak oleh ambulans KKM,” katanya.
Operasi ditamatkan pada jam 7.31 malam selepas keadaan di lokasi disahkan selamat. Turut membantu di lokasi kejadian ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
