KOTA KINABALU, 29 Mac – Kerajaan Negeri menegaskan tidak wujud sebarang justifikasi untuk menghidupkan kembali tuntutan Manila ke atas Sabah, seperti yang dibangkitkan oleh seorang senator dari Filipina baru-baru ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata Sabah kekal sebagai negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia dan kedudukannya tidak seharusnya dipersoalkan oleh mana-mana pihak.
Menurut beliau, isu lama berhubung tuntutan berkenaan tidak wajar diungkit semula, apatah lagi dikaitkan dengan perkembangan semasa seperti krisis tenaga.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.
Majlis berkenaan yang dihadiri kira-kira 20,000 pengunjung turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin, serta isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Juliah Salag.
Terdahulu, Hajiji bersama isteri menyantuni golongan asnaf dengan menyampaikan sumbangan duit raya, selain meluangkan masa beramah mesra dengan pengunjung yang hadir.
Dalam ucapannya, beliau turut menekankan kepentingan mengekalkan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini agar setiap perayaan dapat disambut dalam suasana aman dan sejahtera.
Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan hiburan, termasuk penampilan artis tempatan terkenal, Marsha Milan Londoh.
TAMAT
