GURU GIAT MARA MAUT, DUA ANAK CEDERA DALAM KEMALANGAN LORI-PERODUA ALZA

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA BELUD,25 OGOS – Seorang wanita berusia 42 tahun maut manakala dua remaja cedera selepas kereta Perodua Alza dinaiki empat beranak bertembung dengan sebuah lori 10 tan yang membawa muatan pasir di Jalan Taman Nikmat, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.05 pagi itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud menerima panggilan kecemasan sebelum tiba di lokasi kira-kira empat minit kemudian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud, PKPgB Elge bin Bakuk berkata, kemalangan membabitkan sebuah lori 10 tan dan sebuah Perodua Alza yang mengakibatkan empat mangsa terperangkap di dalam kenderaan terbabit.

Menurutnya, pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat khas.

“Seorang mangsa perempuan berusia 42 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dua lagi mangsa, masing-masing lelaki berusia 18 tahun yang mengalami kecederaan parah dan remaja perempuan berusia 15 tahun yang cedera ringan dihantar ke Hospital Kota Belud menggunakan ambulans KKM dan Toyota Light Operational Vehicle (LOV).

Sementara itu seorang lagi mangsa lelaki berusia 17 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa pulang oleh ahli keluarganya.

Pemandu lori bagaimanapun tidak berada di lokasi kejadian ketika pasukan penyelamat tiba dan maklumat lanjut mengenainya belum diperoleh.

Operasi yang disertai tujuh anggota BBP Kota Belud itu tamat sepenuhnya pada jam 12.18 tengah hari selepas keadaan di lokasi dipastikan selamat.

Operasi turut mendapat kerjasama lapan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua anggota KKM.

Share This Article