SANDAKAN, 14 Januari – Ahli Parlimen P.185 Batu Sapi merangkap Timbalan Menteri Sumber Manusia, YB Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, menzahirkan kekecewaan terhadap pihak kontraktor susulan kelewatan pelaksanaan projek pembinaan rumah bagi mangsa kebakaran Kampung Gas.
Beliau berkata, kelewatan berkenaan memberi kesan besar kepada 100 ketua isi rumah yang masih menunggu penempatan semula, sedangkan mereka mengharapkan dapat mendiami rumah baharu sebelum menjelang Ramadan.
Menurut beliau, beberapa siri tinjauan lapangan yang diketuai Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen P.185 Batu Sapi, Tuan Ajak Hj Sadikal bersama pihak berkuasa tempatan (PBT), mendapati pihak syarikat hanya menghantar wakil tanpa kehadiran pengurusan tertinggi.
Keadaan itu, katanya, menimbulkan kebimbangan terhadap tahap komitmen kontraktor dalam menyiapkan projek berkenaan mengikut jadual.
Datuk Khairul Firdaus menegaskan agar pihak kontraktor mempercepatkan kerja pembinaan demi memastikan kebajikan mangsa kebakaran terus terpelihara serta kepercayaan rakyat terhadap pelaksanaan projek kerajaan tidak terjejas.
TAMAT
