KOTA KINABALU,26 OGOS – Sambutan Maulidur Rasul SAW perlu dijadikan wadah untuk menyemarakkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW dengan menghayati serta mencontohi akhlak dan teladan Baginda dalam kehidupan seharian.
Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman, berkata kecintaan kepada Rasulullah SAW tidak seharusnya terhenti pada ungkapan dan sambutan semata-mata sebaliknya perlu diterjemahkan melalui penghayatan terhadap ajaran, akhlak dan teladan Baginda.
Katanya, nilai kesabaran, keadilan, kebijaksanaan, kasih sayang dan ihsan yang ditunjukkan Rasulullah SAW perlu terus disuburkan dalam kehidupan bermasyarakat.
“Dalam menghadapi perbezaan, Baginda mengutamakan kebijaksanaan manakala dalam hubungan sesama manusia, Baginda sentiasa mendahulukan sifat kasih sayang dan ihsan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi perutusan sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.
Tun Musa turut menekankan kepentingan memelihara keharmonian Sabah yang dihuni masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya dengan mengamalkan sikap saling menghormati, memahami serta bekerjasama.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya memanfaatkan kemajuan teknologi untuk menyebarkan ilmu dan perkara yang membawa manfaat bukannya menjadikannya medan penyebaran fitnah, kebencian atau perkara yang boleh menjejaskan keharmonian.
“Perbezaan pandangan hendaklah diurus dengan hikmah, perselisihan jangan dibiarkan menjadi permusuhan,” katanya.
Tun Musa turut mengajak umat Islam memperbanyakkan selawat, mempelajari sirah Rasulullah SAW dan berusaha mencontohi akhlak Baginda sebagai asas memperkukuh keamanan, kesejahteraan serta perpaduan di Sabah.
Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri itu turut dimeriahkan dengan perarakan membabitkan 96 kontinjen yang menghimpunkan kira-kira 10,000 peserta.
Sementara itu, Bekas Ketua Hakim Syarie, Datuk Alidin @ Ahmad Din OKK Othman dan bekas Timbalan Ketua Audit Negara, Datuk Patimah Ramuji dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maulidur rasul 1448H/2026M negeri Sabah bagi kategori lelaki dan wanita.
Hadir sama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya,Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Arif; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih.
