Syafiq Calon Termuda PKS di Silam, Yakin Mampu Beri Saingan

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 14 Nov– Parti Kebangsaan Sabah (PKS) menampilkan wajah baharu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah ke-17.

Dua calon PKS itu termasuklah Mohd
Syafiq Ihqmal bagi kerusi Silam manakala Haji Jani Kulmen dicalonkan bagi kerusi Tungku.

Syafiq ketika ditemui media berkata keputusan pencalonannya mungkin dianggap mengejutkan namun beliau optimis membawa perubahan di Silam.

“Pertama sekali… terima kasih kepada rakan-rakan media yang hadir.. hari ini saya bersama Haji Jani Kulmen mewakili PKS dan insya-Allah beliau akan bertanding di Tungku manakala saya sendiri diberi amanah di Silam,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran di Silam, Syafiq mengakui saingan yang menantinya bukan mudah.

“Saya tidak menafikan seteru saya di N62 Silam agak kuat. Kami berdepan figura politik yang hebat.

Namun.. siapa tahu angin politik boleh berubah. Kami di PKS akan buat yang terbaik dengan persiapan jentera yang tersusun,” jelasnya.

Beliau berkata, jentera untuk Silam dan Tungku telah digerakkan sejak awal dengan data dan strategi yang dirangka secara berperingkat.

Ditanya mengenai kekuatan jentera PKS, Syafiq berkata meskipun parti itu kecil dan masih dalam proses membangun semula malah sambutan masyarakat cukup menggalakkan.

“Walaupun PKS bukan parti yang well established tetapi sokongan hari ini membuktikan keupayaan parti. Kita berjaya mengumpulkan sekitar 50 hingga 60 penyokong pada petang ini dan itu satu petanda positif,” katanya.

Mengenai misinya sebagai calon Syafiq berkata beliau bertekad memastikan suara rakyat Silam diberi perhatian sewajarnya.

“Misi utama saya ialah memastikan suara masyarakat Silam didengari di peringkat negeri. Selain itu, kami mahu membawa pembangunan yang lebih baik ke Silam dan Tungku,” katanya.

Mengulas isu bahawa beliau bukan anak jati Silam, Syafiq menegaskan beliau tetap mempunyai akar di daerah itu.

“Saya lahir di Lahad Datu, cuma membesar di Tungku. Kita juga pernah ditadbir oleh mereka yang bukan berasal dari Lahad Datu sebelum ini. Why not? Saya calon muda yang ingin membawa pembaharuan,” katanya.

TAMAT

Share This Article