SANDAKAN, 14 Nov – Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Sekong, Puan Sri Diana Diego @ Yusrina Sufiana yakin sokongan padu daripada kepimpinan gabungan parti mengukuhkan peluang kemenangan di kawasan itu pada PRN Sabah ke-17.
Timbalan ketua wanita GRS itu berkata keyakinan tersebut turut didorong sokongan kuat Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Khairul Firdaus serta kerjasama erat pemimpin daripada GRS, PBS, LDP dan penyokong Usno di kawasan berkenaan.
“Saya penuh yakin.. sokongan Khairul (datuk) bersama kekuatan semua pemimpin komponen adalah antara faktor terpenting untuk kemenangan.
” Kesetiaan serta kefahaman rakyat terhadap usaha pembangunan yang dibawa GRS sejak empat tahun lalu turut meyakinkan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Jentera Pilihan Raya DUN Sekong di Markas Utama GRS, Bandar Ramai-Ramai, malam tadi.
Diana yang juga Ketua Wanita Usno turut mengingatkan semua ahli gabungan kembali bersatu selepas proses pemilihan calon selesai.
“Kita semua sudah diberi ruang bersaing untuk menjadi calon. Kini keutamaan kita ialah memastikan kemenangan GRS dan memberi fokus kepada keperluan rakyat, khususnya dalam aspek ekonomi dan pembangunan,” katanya di hadapan lebih 50 ahli jentera gabungan.
Timbalan Ketua Bahagian PGRS Sekong, Shamsul Kalana Samlee pula memberi jaminan untuk bersama-sama memantapkan jentera dan memujuk ahli parti menyokong pencalonan Puan Sri Diana.
“Adalah lumrah dalam parti gabungan wujud rasa kecewa apabila calon pilihan tidak terpilih. Tetapi menjadi tanggungjawab calon dan kepimpinan untuk merapatkan semula barisan demi memperkukuh jentera. Kalau itu pun tidak mampu dibuat, tidak perlulah bersaing dalam politik,” katanya secara berseloroh.
Mesyuarat turut mengesahkan struktur jentera pilihan raya DUN Sekong dengan Puan Sri Diana sebagai pengarah manakala ketua-ketua bahagian komponen bertindak sebagai timbalan.
Dylan Bongkos Malakun dilantik sebagai wakil calon, Emelda Balanting sebagai setiausaha, Awang Ahmad Ongkang sebagai timbalan setiausaha serta ketua-ketua pemuda dan wanita setiap parti sebagai timbalan dalam kepimpinan jentera tersebut.
TAMAT
