KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Ts. Mustapha Sakmud menziarahi mangsa kebakaran di Kampung Berdato, Tebobon bagi meninjau sendiri keadaan serta tahap kerosakan yang dialami penduduk terjejas.
Lawatan berkenaan dilakukan selepas beliau selesai mengadakan lawatan rasmi ke Pejabat Pertahanan Awam Sabah.
Menurut beliau, insiden kebakaran itu memberi kesan besar kepada keluarga terlibat apabila kediaman dan harta benda musnah dalam sekelip mata, sekali gus menjejaskan kehidupan harian mereka.
Sehubungan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan bagi membantu meringankan beban mangsa, khususnya bagi keperluan asas sementara mereka berdepan situasi sukar.
Beliau turut menzahirkan rasa simpati dan berharap semua mangsa diberikan kekuatan serta ketabahan, selain dipermudahkan urusan untuk bangkit memulakan kehidupan baharu.
TAMAT
