SEORANG LELAKI MELECUR DALAM KEBAKARAN RUMAH DI KAMPUNG TABANAK

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 23 SEPT – Seorang lelaki berusia 40 tahun mengalami kecederaan melecur selepas sebuah rumah jenis tidak kekal di Jalan Hilir 2, Kampung Tabanak di sini terbakar pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, PKPgB Sumsoa Bin Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi sistem NG999 pada jam 10.32 pagi sebelum sepasukan 12 anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, pasukan bomba Operasi diketuai PBK II Ag. Hazizan Bin Hashim selaku Komander Operasi tiba di lokasi pada jam 10.38 pagi, kira-kira enam kilometer dari balai dan mendapati rumah berkeluasan 30 x 40 kaki itu telah terbakar kira-kira 90 peratus.

“Pasukan operasi menjalankan kerja-kerja pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 800 kaki dengan dua pancutan, menggunakan sumber air terbuka,” katanya.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki berusia 40 tahun yang merupakan penyewa rumah berkenaan mengalami kecederaan melecur dan dibawa oleh orang awam ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Kebakaran turut menyebabkan dokumen pengenalan diri mangsa musnah.

Operasi pemadaman berjaya dikawal pada jam 12.09 tengah hari sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.20 tengah hari selepas pemeriksaan akhir mendapati tiada lagi punca yang boleh menyebabkan kebakaran berulang atau bahaya lain di lokasi.

Operasi melibatkan 12 anggota BBP Lahad Datu, masing-masing enam anggota daripada jentera FRT dan enam anggota CFRT.

Share This Article