PUSAT JAGAAN HARIAN WARGA EMAS (MERPATI) ANTARA KOMITMEN KERAJAAN SABAH MENJAGA KEBAJIKAN WARGA EMAS

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 15 APRIL – Usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat terus diperkasakan di peringkat daerah menerusi pelaksanaan Program MERPATI (Pusat Jagaan Harian Warga Emas), yang kini diperluaskan ke daerah Sandakan sebagai sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri Sabah dalam menjaga kebajikan golongan warga emas.

Program ini merupakan inisiatif di bawah Program Santunan Prihatin selaras dengan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan keseimbangan pembangunan sosial, kebajikan dan kesejahteraan rakyat seiring dengan kemajuan ekonomi dan infrastruktur negeri.

Pelaksanaan Program MERPATI di Sandakan memberi tumpuan kepada penyediaan pusat jagaan harian yang mesra warga emas tanpa memisahkan mereka daripada keluarga. Inisiatif ini bertujuan membantu keluarga yang mempunyai komitmen kerja di samping memastikan warga emas terus menerima penjagaan yang teratur dan berkualiti.

Selain penjagaan asas program ini turut menyediakan pelbagai aktiviti yang menggalakkan penglibatan aktif warga emas seperti aktiviti sosial, interaksi komuniti serta sokongan emosi agar mereka terus merasa dihargai dan tidak terpinggir.

Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh t Datuk Julita Mojungki, Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat.

Turut hadir ialah Datuk Rina Hj. Jainal, Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Tuan Jais Asri, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Datuk Hazem Mubarak Tun Musa, Vivian wong ,Ahli Parliman p186 serta Datuk Maria Chong, Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat.

Majlis turut diselaraskan secara interaktif bersama Rumah Warga Tua Air Panas Tawau sebagai simbol kesepaduan pelaksanaan program di seluruh negeri.

Kerajaan Negeri melalui agensi berkaitan akan terus mempergiat usaha hebahan dan promosi bagi memastikan maklumat berkaitan program ini sampai kepada kumpulan sasar di daerah ini, termasuk melalui program turun padang dan kerjasama dengan komuniti setempat.

Dengan pelaksanaan Program MERPATI di Sandakan diharap lebih ramai warga emas akan mendapat manfaat seterusnya menyumbang ke arah pembentukan masyarakat yang penyayang, inklusif dan sejahtera.

Share This Article