KOTA KINABALU, 7 November – Seramai sembilan individu yang berdepan masalah kesihatan dan kesulitan hidup menerima sumbangan kebajikan menerusi program ziarah kasih Unit Kebajikan Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di sekitar kawasan Parlimen Sepanggar dan Tuaran, semalam.
Program yang diketuai Pengerusinya, Datin Mary Wong itu melibatkan kunjungan ke rumah penerima bagi menyampaikan sumbangan serta mendapatkan gambaran mengenai keadaan dan keperluan mereka.
Antara penerima yang disantuni ialah warga emas, pesakit buah pinggang kronik, strok dan masalah salur darah selain seorang bayi yang memerlukan penjagaan serta rawatan susulan selepas didiagnosis dengan retinopathy of prematurity (ROP).
Sebahagian pesakit berkenaan memerlukan rawatan dialisis sehingga tiga kali seminggu manakala keluarga lain berdepan keperluan penjagaan harian dan sokongan kebajikan secara berterusan.
Selain menyampaikan sumbangan mengikut keperluan, lawatan itu turut menjadi ruang kepada pihak Unit Kebajikan Wanita GRS untuk mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi pesakit dan keluarga sekali gus mengenal pasti bentuk bantuan susulan yang boleh diusahakan melalui saluran berkaitan.
Mary berkata, program berkenaan bukan sekadar bertujuan menyampaikan sumbangan sebaliknya memberi peluang kepada pihaknya memahami keadaan sebenar penerima agar bantuan yang disalurkan lebih bersesuaian dengan keperluan masing-masing.
Katanya, kehadiran dan keprihatinan masyarakat amat bermakna kepada golongan yang sedang berdepan ujian kesihatan serta kesulitan hidup.
Turut menyertai program itu ialah Setiausaha Wanita GRS, Salmah Sait,Setiausaha Kerja Wanita GRS, Fariza Jimmy serta ahli jawatankuasa Unit Kebajikan Wanita GRS, Rizawani Fiona Heng, Risna Ullap, Dato’ Marsya dan Ratna Dewi Rostan.
Inisiatif berkenaan diharap dapat membantu meringankan beban penerima dan keluarga selain menyemarakkan budaya prihatin serta semangat kebersamaan dalam masyarakat.
