SANDAKAN, 7 Mac – Program kebajikan dan kemasyarakatan sempena bulan Ramadan terus diperkukuh apabila Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Sandakan menganjurkan Majlis “Senyum Ramadan Eratkan Ukhuwah” yang berlangsung di Masjid Raya Sri Aman, Rancangan Sungai Manila, di sini semalam.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh ADUN N.51 Sungai Manila, YB Hazem Mubarak Tun Dr. Musa yang juga Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, turut hadir Presiden Majlis Perbandaran Sandakan yang juga bertindak sebagai penasihat PUSPANITA cawangan berkenaan, sekali gus menyerlahkan sokongan pihak berkuasa tempatan terhadap inisiatif yang memupuk perpaduan masyarakat.
Program itu dirasmikan oleh Hajah Merdiline Haji Albaris, isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, YB Hazem Mubarak Tun Dr. Musa.
Penganjuran majlis berkenaan merupakan usaha bersama antara PUSPANITA Sandakan, Majlis Perbandaran Sandakan serta Kumpulan Sawit Kinabalu dalam menyemarakkan kedatangan Ramadan di samping memperkukuh hubungan silaturahim antara pemimpin, penjawat awam dan penduduk setempat.
Selain menjadi platform mempererat ukhuwah, program itu juga dilihat mampu menyatukan pelbagai lapisan masyarakat melalui aktiviti kemasyarakatan yang berteraskan nilai kebersamaan dan keprihatinan.
Sementara itu, Pengerusi PUSPANITA Sandakan, Ivy Wong berkata penganjuran program seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang bagi menggalakkan semangat perpaduan serta memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dan komuniti setempat sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.
TAMAT
