UMNO DESAK KEPUTUSAN TAHANAN RUMAH NAJIB DILAKSANAKAN SEGERA

sabahheadlines
1 Min Read

KUALA LUMPUR, 7 November – UMNO menuntut supaya keputusan Lembaga Pengampunan yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah dilaksanakan serta-merta, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu menjunjung kasih atas titah tegas Yang di-Pertuan Agong berhubung pelaksanaan keputusan berkenaan, yang tertakluk kepada syarat pembayaran denda RM50 juta.

Menurutnya, UMNO berpandangan bahawa berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong, semua syarat dalam perintah pengampunan bersyarat berkenaan telah dipenuhi, justeru sebarang hujah yang mempertikaikannya boleh dianggap sebagai tindakan mengingkari perintah Ketua Utama Negara.

Beliau berkata, pendirian tegas itu juga membawa implikasi serius, termasuk kemungkinan wujudnya unsur penderhakaan terhadap institusi diraja.

Sehubungan itu, UMNO menegaskan Malaysia tidak boleh ditadbir oleh pihak yang membelakangi peruntukan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, parti itu menuntut supaya keputusan Lembaga Pengampunan dilaksanakan tanpa sebarang kelewatan, manakala mana-mana pihak yang mengingkari perintah berkenaan perlu dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang.

UMNO turut menegaskan komitmennya untuk bersama seluruh rakyat Malaysia mempertahankan kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Agong sebagai payung negara.

Share This Article