LAHAD DATU, 23 SEPT – Seorang lelaki dianggarkan berusia lingkungan 30-an ditemui meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik dalam satu kejadian di Kampung Puyut, di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penguasa Kanan Bomba II (PKPgB) Sumsoa Bin Rashid berkata, pihak balai menerima panggilan kecemasan mengenai insiden berkenaan pada jam 12:47 tengah hari melalui talian terus balai sebelum mengerahkan seramai 12 anggota bersama dua buah jentera (FRT dan CFRT) ke lokasi kejadian.
Menurut beliau, pasukan penyelamat yang diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Ag. Hazizan Bin Hashim tiba di lokasi berjarak 6 kilometer itu pada jam 12:55 tengah hari dan mendapati seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat renjatan elektrik.
Pihak Sabah Electricity (SESB) dihubungi dengan segera untuk memotong bekalan elektrik di kawasan berkenaan bagi membolehkan operasi mengeluarkan mangsa dijalankan secara selamat menggunakan pengusung (stretcher) serta tali.
Pegawai Perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri manakala penduduk setempat turut mengesahkan bahawa lelaki berkenaan tidak dikenali di kawasan kampung tersebut.
Operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 1:30 tengah hari dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Setelah memastikan persekitaran selamat dan bebas daripada bahaya, operasi ditamatkan secara rasmi pada jam 1:36 tengah hari.
