EMPAT MAUT, PEMANDU LORI CEDERA DALAM KEMALANGAN DI TELUPID

sabahheadlines
2 Min Read

TELUPID, 9 SEPT – Empat mangsa maut selepas Proton Saga BLM yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori Isuzu dalam kemalangan di hadapan Kedai Makan Rosalinda, Kampung Gambaron, Telupid pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.28 pagi itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran menerima panggilan kecemasan sebelum tujuh anggota bersama sebuah jentera CFRT digerakkan ke lokasi sejauh 93 kilometer.

Komander Operasi, PBK I Rahmat Rudat berkata, pihaknya tiba di lokasi pada jam 9.33 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan yang bertembung dari arah bertentangan.

Menurutnya, terdapat empat mangsa di dalam Proton Saga BLM yang berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dengan bantuan PDRM dan APM.

“Keempat-empat mangsa yang dikeluarkan dari kenderaan Proton Saga BLM itu disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir ke tempat kejadian.

“Maklumat mengenai identiti kesemua mangsa bagaimanapun belum diperoleh,” katanya.

Sementara itu pemandu lori mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan awal daripada pasukan KKM sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Telupid untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kesemua mangsa yang maut diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya.

Operasi turut membabitkan PDRM, APM dan KKM. Selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi operasi ditamatkan pada jam 9.58 pagi.

BBP Beluran memaklumkan lokasi kejadian turut tidak mempunyai liputan GIRN dan telefon.

Share This Article