BATU SAPI, 4 Mac – Enam premis dilaporkan musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku kira-kira jam 3 pagi di Kampung Bukit Nenas, awal pagi tadi.
Kebakaran berkenaan melibatkan tiga buah rumah kediaman dan tiga kedai runcit yang dilaporkan terbakar 100 peratus, menyebabkan beberapa keluarga hilang tempat tinggal serta sumber pendapatan.
Prihatin terhadap nasib mangsa, Ahli Parlimen P.185 Batu Sapi, YB Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, telah menghulurkan sumbangan ihsan bagi meringankan beban mereka yang terjejas.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen P.185 Batu Sapi, Tuan Ajak Hj Sadikal, yang mewakili beliau dalam lawatan ke lokasi kejadian.
Turut hadir menzahirkan sokongan ialah Pemaju Pembangunan Masyarakat N54 Karamunting, Tuan Yap, serta Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO) N53 Sekong, Tuan Azman Jambo.
Menurut wakil pejabat Parlimen Batu Sapi, bantuan segera itu bertujuan membantu mangsa memenuhi keperluan asas sementara menunggu penempatan atau bantuan lanjut daripada agensi berkaitan.
Setakat ini, tiada laporan kecederaan dilaporkan, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.
TAMAT
