SAWIT KINABALU TEROKA PELUANG BAHARU MELALUI INDUSTRI NANAS MD2

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA MARUDU, 20 JUN – Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, YB Datuk Haji Hazem Mubarak Tun Dr. Musa mengetuai lawatan kerja ke Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Kampung Gana bagi meninjau perkembangan dan pengurusan ladang nanas MD2 yang diusahakan oleh Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).

Menurut Hazem, lawatan tersebut memberi peluang kepada Kumpulan Sawit Kinabalu untuk melihat sendiri amalan pengurusan ladang, penggunaan teknologi moden serta tahap produktiviti tanaman nanas MD2 yang semakin mendapat perhatian sebagai komoditi berpotensi tinggi.

“Lawatan ini membolehkan kami memperoleh pendedahan secara langsung mengenai pembangunan industri nanas, selain menilai potensi tanaman ini sebagai salah satu cabang diversifikasi perniagaan yang berdaya maju untuk diterokai pada masa hadapan,” katanya ketika lawatan kerja ke tapak penanaman nenas MD2 di sini kelmarin

Beliau berkata, perkongsian pengalaman dan amalan terbaik antara Kumpulan Sawit Kinabalu dan LIGS mampu membuka ruang kerjasama yang lebih luas dalam memperkukuh pembangunan sektor agribisnes negeri.

“Maklumat serta pengetahuan yang diperoleh melalui lawatan ini akan menjadi rujukan penting dalam menilai peluang pembangunan industri nanas MD2 yang berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sektor agromakanan Sabah,” katanya lagi.

Hazem turut menerima taklimat dari Pengurus Besar LIGS, Ts. Sabdil Tanjung mengenai proses penanaman nenas di keluasan 500 ekar di kawasan itu.

Beliau menegaskan bahawa Kumpulan Sawit Kinabalu akan terus meneroka peluang-peluang strategik yang mampu memperkukuh daya saing organisasi, meningkatkan nilai ekonomi syarikat serta menyokong agenda pembangunan pertanian dan agromakanan Sabah yang lebih progresif, inovatif dan mampan.

Share This Article