SALLEH TEGASKAN TIADA RUANG UNTUK KELEWATAN PROJEK PAN BORNEO SABAH

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 23 JUN – Pemeriksa Agung Projek Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Said Keruak menegaskan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah akan terus dipantau rapi bagi memastikan setiap pakej kerja disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Beliau berkata, beberapa pakej utama projek itu menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan Pakej Kerja (WP) 3, 4, 10 dan 29 dijangka memperoleh Sijil Siap Sebahagian (CPC) tahun ini.

Menurutnya, WP4 telah mencatat pencapaian penting apabila laluan baharu empat lorong dua hala antara Jejambat Bongawan dan Jejambat Benoni dibuka kepada pengguna pada 15 Jun lalu, sekali gus meningkatkan kelancaran trafik serta keselamatan jalan raya.

Salleh turut memaklumkan WP6 dan WP7 dijangka menyiapkan skop asal kerja serta membuka laluan dari Jejambat Putatan ke Persimpangan Sepanggar menjelang Oktober tahun ini.

Beliau berkata, baki lima pakej Fasa 1A dijadualkan siap antara 2027 hingga 2028, namun menegaskan tiada alasan untuk kelewatan yang boleh dielakkan.

“Setiap kelewatan mempunyai kos. Ia bukan sahaja meningkatkan perbelanjaan pembinaan, malah menangguhkan manfaat ekonomi dan sosial yang sepatutnya dinikmati rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan tapak bersama pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR), kontraktor serta agensi berkaitan bagi meninjau kemajuan projek berkenaan.

Hadir sama Timbalan Pengarah JKR serta wakil agensi kerajaan dan kontraktor yang terlibat dalam pelaksanaan projek tersebut.

Share This Article