SIP PEMACU BAHARU PERTUMBUHAN EKONOMI SANDAKAN

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 29 OGOS – Kawasan Sandakan Industrial Park (SIP) berpotensi menjadi antara pemacu baharu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan industri di daerah ini sekali gus membuka lebih banyak peluang pelaburan, pekerjaan serta perniagaan kepada masyarakat setempat.

Atas perkembangan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Haji Hazem Mubarak Tun Musa, turun meninjau sendiri beberapa lokasi strategik di SIP bagi melihat perkembangan serta potensi kawasan berkenaan.

Antara lokasi yang dilawati ialah tapak pembinaan bangunan baharu SKG Wilayah Sandakan termasuk lokasi Onshore Receiving Facility (ORF)yang merupakan sebahagian daripada kemudahan Sandakan Gas Development Project (SGDP).

Beliau turut diberi taklimat mengenai kemudahan yang tersedia di Sip selain meninjau SK Jetty Sdn Bhd, kawasan perindustrian SIP serta Pencawang Masuk Utama Seguntor.

Hazem berkata, pembangunan industri tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pembinaan infrastruktur sebaliknya perlu diterjemahkan kepada manfaat ekonomi yang lebih besar untuk rakyat.

“Pembangunan industri bukan hanya tentang membina infrastruktur. Ia mesti diterjemahkan kepada peluang pelaburan, peluang pekerjaan, pertumbuhan perniagaan tempatan dan peningkatan ekonomi rakyat,” katanya.

Beliau berkata, Sandakan mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai pusat ekonomi dan Industri namun perkara penting ialah memastikan keperluan industri difahami dan pembangunan yang dirancang benar-benar memberi nilai kepada daerah itu.

“Kita tidak mahu Sandakan hanya menjadi tempat persinggahan. Kita mahu Sandakan menjadi antara pusat pertumbuhan ekonomi dan industri utama di Sabah,” katanya.

Menurutnya, perancangan yang tepat, kerjasama semua pihak serta keberanian membawa perubahan mampu mengangkat potensi Sandakan ke tahap lebih tinggi.

“Insya-Allah, dengan perancangan yang betul.. kerjasama semua pihak dan keberanian untuk membawa perubahan, potensi Sandakan boleh kita angkat ke tahap yang lebih tinggi.

“Sandakan ada masa depan. Kita bersama-sama membinanya,” ujarnya.

Share This Article