KOTA KINABALU,11 FEBRUARI- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes pemberian maklumat palsu berkaitan permohonan kad pengenalan bagi tiga individu berasingan.
Suspek ditahan oleh Bahagian Penguatkuasaan JPN Sabah pada jam kira-kira 11 pagi, 4 Februari lalu, ketika hadir di pejabat JPN Kota Kinabalu.
Menurut JPN, lelaki berkenaan disyaki bertindak sebagai penganjur atau penjamin dengan mengemukakan maklumat tidak benar, termasuk mendakwa dirinya sebagai bapa dalam beberapa permohonan kad pengenalan.
Kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(b), Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (Pindaan 2007), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
JPN Sabah menegaskan tindakan tegas akan terus dilaksanakan terhadap mana-mana pihak yang cuba menipu atau menggunakan dokumen tidak sah dalam urusan pendaftaran negara, demi memastikan integriti sistem pendaftaran kekal terpelihara.
TAMAT
