SEMPORNA, 12 MEI– Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna menerima serahan satu kes daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna melibatkan rampasan 265 liter petrol menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) di perairan Pulau Siamil, semalam.
Dalam operasi itu, seorang lelaki tempatan turut ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan bagi memiliki dan menyimpan barang kawalan terbabit.
Turut disita ialah sebuah bot laju berwarna biru, sebuah enjin sangkut Yamaha Enduro 75 kuasa kuda serta tiga tong simpanan untuk membantu siasatan lanjut.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM11,655.30.
Susulan itu, KPDN Semporna membuka kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan memberi amaran tegas kepada individu atau syarikat supaya mematuhi undang-undang berkaitan barang kawalan.
Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah RM2 juta dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berulang.
