LAHAD DATU, 28 APRIL- Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah memaklumkan seramai 166 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina telah dipindahkan pulang ke negara asal menerusi operasi yang dilaksanakan di pintu masuk laut negeri ini, hari ini.
Menurut beliau, kesemua individu terbabit merupakan tahanan yang ditempatkan di Depot Imigresen Sabah dan telah melalui proses perundangan sepenuhnya sebelum layak dihantar pulang.
“Daripada jumlah itu, seramai 118 adalah lelaki dewasa, diikuti 20 wanita dewasa, 12 kanak-kanak lelaki serta 16 kanak-kanak perempuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, semua tahanan berkenaan telah melepasi proses pengesahan dokumen perjalanan yang dijalankan dengan kerjasama pihak kedutaan negara asal di Malaysia sebelum dibenarkan menyertai program pemindahan melalui Pelabuhan Lahad Datu.
Dalam perkembangan berkaitan, jumlah keseluruhan PATI yang berjaya dipindahkan keluar dari Sabah setakat ini telah mencecah 2,183 orang.
Sehubungan itu Jabatan Imigresen Negeri Sabah menggesa orang ramai supaya lebih berwaspada terhadap kehadiran warga asing tanpa dokumen sah di kawasan masing-masing. Orang awam turut diingatkan agar tidak melindungi atau menggaji PATI serta diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa melalui saluran rasmi jabatan bagi membantu usaha penguatkuasaan.
