KUDAT, 13 Januari — Cubaan menyeludup rokok tidak bercukai menggunakan perkhidmatan feri ke Pulau Banggi berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, operasi itu dijalankan hasil maklumat risikan berhubung pergerakan rokok seludup di perairan Kudat yang dipercayai menggunakan laluan feri awam.
Menurutnya, bertindak atas maklumat tersebut, sebuah bot rondaan Maritim Malaysia digerakkan sebelum pemeriksaan dilakukan ke atas feri terbabit.
“Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan seorang lelaki yang disyaki cuba membawa rokok seludup tanpa cukai ke Pulau Banggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemukan enam kotak berisi rokok seludup dengan nilai anggaran keseluruhan kira-kira RM6,000.
Suspek bersama barangan rampasan kemudian dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana disyaki memiliki dan membawa rokok tidak bercukai.
Dalam pada itu, Maritim Malaysia Zon Maritim Kudat menegaskan komitmen pihaknya untuk terus membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah maritim di perairan negara.
Orang awam turut diminta menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858.
TAMAT
