BAS PERSIARAN BAWA 36 PELAJAR TERBABAS, SEMBILAN CEDERA RINGAN

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA BELUD, 31 OGOS – Sembilan pelajar Sekolah Menengah Sains Tuaran cedera ringan selepas bas persiaran yang membawa 35 pelajar dan seorang guru terlibat dalam kemalangan di Simpang Tiga Jalan Kota Belud-Kundasang, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, kesemua mangsa yang mengalami kecederaan ringan dihantar ke Hospital Kota Belud bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 11 pagi sebelum sepasukan dua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud digerakkan ke lokasi.

Komander Operasi, PBK I Mohd Farhad Abdullah, berkata kemalangan terbabit membabitkan sebuah bas persiaran yang disewa bagi membawa rombongan pelajar dan seorang guru dari sekolah berkenaan.

Beliau berkata, sembilan pelajar mengalami kecederaan ringan dalam kejadian itu.

“Kesemua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kota Belud untuk mendapatkan rawatan lanjut menggunakan ambulans KKM Tuaran, KKM Kota Belud dan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Setelah memastikan keadaan di lokasi selamat dan terkawal, operasi ditamatkan pada jam 12.32 tengah hari,” katanya.

Turut terlibat dalam operasi ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan APM.

Kesemua sembilan mangsa dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

Share This Article