Tiga Ditahan Dalam Dua Kes Berasingan Miliki Dadah Syabu.

sabahheadlines
1 Min Read

Lahad Datu, 13 Januari 2026 — Polis Daerah Lahad Datu menahan tiga individu dalam dua kes berasingan berkaitan kesalahan memiliki dadah jenis syabu hasil operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

Dalam kejadian pertama, seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun ditahan di kawasan Kampung Bakau, di sini ketika polis menjalankan Op Tapis.

Pemeriksaan mendapati suspek memiliki dadah disyaki syabu seberat 0.21 gram.

Ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah.

Dalam kejadian kedua pula polis menahan dua lelaki warga asing di kawasan belakang bangunan Pasaraya Econsave, Jalan Reno Fajar.

Pemeriksaan fizikal ke atas salah seorang suspek menemukan dadah disyaki syabu seberat 0.23 gram manakala seorang lagi suspek tidak memiliki sebarang barang salah.

Bagaimanapun ujian saringan awal mendapati kedua-dua suspek positif dadah.

Kesemua suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana memasukkan dadah ke dalam badan.

Operasi berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hj. Dzulbaharin bin Hj.

Ismail bersama seluruh warga IPD Lahad Datu dalam usaha membanteras jenayah dadah di daerah ini.

TAMAT

Share This Article