Dilabel ‘Katak’, Mohd Ismail Anggap Simbol Rahmat Dalam Politik

sabahheadlines
2 Min Read

KINABATANGAN,13 Jan-Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Ismail Ayob menyifatkan tohmahan segelintir pihak yang melabelkannya sebagai ‘katak’ susulan perubahan pendirian politik sebagai perkara biasa dalam landskap politik tanah air.

Mohd Ismail yang lebih dikenali sebagai Miha berkata, istilah ‘katak’ tidak wajar dilihat secara negatif sebaliknya mempunyai makna simbolik yang baik kepada masyarakat.

Sambil berseloroh bahawa haiwan itu kini ‘mahal’, beliau menegaskan persepsi yang dibentuk di media sosial tidak semestinya mencerminkan sokongan sebenar rakyat di peringkat akar umbi.

“Kalau kita lihat apabila kemarau katak inilah yang memanggil hujan. Tanpa katak hujan tidak turun.., panas berpanjangan, tanaman mati dan bekalan air terjejas. Hujan itu pula adalah rahmat,” katanya ketika berucap dalam program menyantuni ibu bapa di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Garam, di sini, pada isnin.

Beliau turut mengibaratkan terdapat dua jenis ‘katak’ dalam politik iaitu mereka yang hanya berdiam diri dan mereka yang sentiasa bersuara serta bekerja tanpa mengenal penat lelah demi kepentingan rakyat.

“Katak ini ada dua jenis… Satu katak yang berada dalam tempayan dan satu lagi katak di luar yang sentiasa memanggil hujan tanpa mengira penat,” katanya.

Mengulas lanjut Mohd Ismail berkata sentimen yang dimainkan di media sosial tidak menjadi penentu utama sokongan pengundi sebaliknya kehadiran pemimpin di lapangan serta keupayaan menyelesaikan masalah rakyat menjadi ukuran sebenar.

Dalam pada itu beliau menjelaskan pendekatan kempen yang digunakan memberi tumpuan kepada penggunaan media sosial bagi mendekati pengundi khususnya golongan muda selain program turun padang dan ziarah dari rumah ke rumah.

Untuk rekod, Mohd Ismail pernah bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu sebagai calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag. Beliau juga pernah bertanding sebagai calon Parti Warisan sebelum menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

TAMAT

Share This Article