sh@ Syarmillah Salleh
SEMPORNA, 6 Ogos 2025 – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Semporna berjaya menggagalkan cubaan menyeludup minyak petrol ke negara jiran.
Maritim menggagalkan cubaan itu menerusi operasi bersepadu di perairan Tanjung Kapur awal pagi ini.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir bin Shukri berkata, pihaknya mengesan sebuah bot kargo yang mencurigakan sekitar jam 1 pagi semasa melaksanakan Op Pluto Timur 2/2013.
“Bertindak atas maklumat risikan, bot BANGGI 10 telah digerakkan ke kawasan terbabit dan mengesan bot kargo dalam keadaan mencurigakan,” katanya dalam kenyataan media.
Menurut beliau, sebaik menyedari kehadiran anggota Maritim, tekong bot terbabit bertindak melarikan diri ke kawasan cetek sebelum terjun ke laut dan menghilangkan diri.
Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan disyaki telah diubah suai bagi tujuan penyeludupan petrol bersubsidi ke negara jiran. Dianggarkan sebanyak 1,100 liter minyak petrol ditemukan di dalam tangki yang diubah suai pada bot tersebut.
“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk bot kargo, enjin sangkut 200HP, pam elektrik dan minyak bersubsidi dianggarkan bernilai hampir RM155,000,” ujarnya.
Kesemua rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Semporna untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan tanpa kebenaran yang sah.
Maritim Malaysia menegaskan akan terus mempergiatkan rondaan dan pengawasan bagi membanteras sebarang aktiviti penyeludupan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
TAMAT
