SANDAKAN,10 OKT – Aksi tinju menjadi antara tarikan utama ketika Datuk Hazem Mubarak Tun Musa menyempurnakan perasmian sambutan Hari Sukan Negara peringkat Daerah Sandakan, pagi tadi.
Gimik berkenaan menyaksikan Hazem menyarungkan sarung tangan tinju dan beraksi di gelanggang bersama Armadin bin Kassim, anak jati Sandakan yang mempunyai pengalaman mewakili Tentera Darat dan Malaysia dalam sukan tinju.
Armadin yang turut berpengalaman dalam bidang kejurulatihan di peringkat Tentera Darat, Johor dan Kuala Lumpur memberikan sentuhan tersendiri kepada gimik berkenaan yang berlangsung dalam suasana santai dan penuh kemeriahan.
Aksi itu bukan sahaja menceriakan suasana sambutan malah membawa mesej bahawa sukan mampu menjadi medium menyatukan masyarakat, memupuk gaya hidup aktif serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan.
Sambutan Hari Sukan Negara terus menjadi platform menggalakkan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur supaya menjadikan aktiviti fizikal dan sukan sebagai sebahagian daripada rutin kehidupan seharian.
