PUSAT RAWATAN TRAUMA DAN REHABILITASI PERLU DIWUJUDKAN DI SABAH

sabahheadlines
4 Min Read

KOTA KINABALU,25 November – Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata satu hospital yang berfungsi sebagai Pusat Rawatan Trauma dan Rehabilitasi perlu dibina dan pada masa yang sama menjadi pusat latihan terunggul perkhidmatan pra-hospital di negeri ini.

Menurut beliau, tindakan perlu diambil untuk mengatasi kekurangan terutama sumber manusia dan kelengkapan ambulans di seluruh negeri Sabah sama ada di bandar atau kawasan pedalaman bagi memastikan perkhidmatan pra-hospital atau ambulans memberi rawatan berkualiti yang bernilai tinggi.

Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), penyakit jantung iskemik kekal sebagai punca utama kematian di negara ini, termasuk di Sabah, diikuti oleh penyakit serebrovaskular (strok) dan kemalangan jalan raya, katanya.

Statistik Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) turut menunjukkan trend peningkatan panggilan kecemasan melalui talian 999 di negeri ini daripada 14,256 panggilan pada tahun 2024 meningkat kepada 15,434 panggilan pada tahun 2025 dan telah merekodkan sebanyak 10,154 panggilan setakat September tahun ini, katanya.

“Apabila menyebut rawatan kecemasan, pengoperasian perkhidmatan pra-hospital atau ambulans memainkan peranan penting sebagai sebahagian rangkaian penjagaan kesihatan secara berterusan kepada masyarakat dengan masa respon yang singkat dan pantas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian penutupan Kursus First Responder Life Support (CPR) and Fitness 2026 di Menara Kinabalu hari ini.

Hajiji berkata peranan pegawai-pegawai sebagai ahli pertolongan cemas dalam kalangan masyarakat amatlah penting sementara menunggu ketibaan ambulans dan pasukan perkhidmatan pra hospital.

“Tindakan awal yang pantas, tepat dan berkesan bukan sahaja dapat mengurangkan risiko komplikasi malah berupaya menyelamatkan nyawa mangsa.

“Sehubungan itu, usaha-usaha melatih lebih ramai Ahli Pertolongan Cemas dengan menyediakan pasukan yang berkemahiran dan siap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dan kecemasan sangat penting dalam suasana kecemasan bagi mengurangkan kadar kematian,” katanya.

Berdasarkan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020, populasi Sabah seramai kira-kira 3.4 juta orang tersebar di kawasan geografi yang luas dengan kepadatan penduduk purata yang rendah iaitu 46 orang bagi setiap kilometer persegi.

Dengan persekitaran sebegini katanya kelangsungan hidup pada minit-minit awal kecemasan amat bergantung kepada orang awam dan responden pertama komuniti yang terlatih untuk memulakan CPR.

Oleh itu, Ketua Menteri berkata penganjuran kursus julung kali yang melibatkan para peserta di kalangan pengiring peribadi Menteri, Pembantu Menteri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pegawai-pegawai di Jabatan Ketua Menteri amat bertepatan sekali.

“Usaha ini adalah satu inisiatif yang baik dan ianya wajar diteruskan secara tetap dan melibatkan semua pengiring-pengiring peribadi Yang Berhormat yang menguruskan perkhidmatan rakyat di lapangan,” katanya.

Beliau mengucapkan tahniah kepada jawatan kuasa penganjur yang diketuai oleh Datuk Dr. G. Mohan A. Gopal Naidoo dengan kerjasama Dewan Undangan Negeri Sabah atas usaha itu.

“Saya berharap kursus ini bukan sahaja menjadi sumber inspirasi kepada pengiring pengiring peribadi yang belum mengikuti kursus, malah menjadi contoh teladan kepada Dewan Undangan di seluruh Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji juga mahu setiap ADUN menggunakan sebahagian peruntukan mereka untuk melatih dan menyediakan pasukan yang berkemahiran dan siap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dan kecemasan di kawasan dewan undangan mereka.

Ini selari dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyatnya.

“Lebih ramai Ahli Pertolongan Cemas dalam kalangan orang awam perlu dilatih untuk mencapai sasaran, ‘Satu orang Ahli Pertolongan Cemas setiap Keluarga’,” katanya.

Share This Article