LELAKI HILANG DALAM GUA TEPADUNG SEJAK 26 MEI DITEMUI SELAMAT

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU,3 JUN-Selepas lebih seminggu dilaporkan hilang ketika mencari sarang burung walit di Gua Tepadung, Segama, seorang lelaki berusia 61 tahun akhirnya ditemui selamat hari ini, sekali gus menamatkan operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari keempat.

Mangsa, Ismail Ibrahim, 61 tahun, ditemui pada jam 12.43 tengah hari di kawasan Ladang Boonrich oleh pekerja ladang berkenaan dalam keadaan selamat.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Bin Rashid, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu pada jam 2.10 petang, 31 Mei lalu memaklumkan seorang lelaki hilang di dalam Gua Tepadung ketika menjalankan aktiviti mencari sarang burung walit.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh, mangsa bersama dua rakannya memasuki gua berkenaan pada 26 Mei. Kedua-dua rakannya kemudian keluar untuk mendapatkan bekalan air minuman dengan meninggalkan mangsa di dalam gua.

Bagaimanapun apabila mereka kembali ke lokasi asal, mangsa didapati hilang dan gagal dikesan. Usaha pencarian awal oleh kedua-dua rakannya juga tidak membuahkan hasil sebelum keluarga mangsa di Sandakan dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Susulan laporan diterima, pasukan bomba bersama agensi penyelamat lain bergegas ke lokasi bagi melaksanakan operasi SAR.

Pada hari keempat operasi, pencarian dimulakan pada jam 10.20 pagi dengan tumpuan diberikan di kawasan luar gua. Hasil pencarian berjaya apabila mangsa ditemui oleh pekerja Ladang Boonrich kira-kira dua jam kemudian.

Mangsa menjalani pemeriksaan kesihatan di lokasi sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi SAR melibatkan lima anggota BBP Lahad Datu termasuk tiga anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) selain dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, Jabatan Perhutanan dan orang awam.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.50 petang selepas pihak penyelamat memastikan tiada lagi sebarang ancaman atau bahaya di kawasan berkenaan.

Share This Article