LELAKI 63 TAHUN MAUT, TROLI KAYU DIREMPUH KERETA API DI TENOM

sabahheadlines
2 Min Read

TENOM, 26 November – Seorang lelaki berusia 63 tahun maut selepas troli kayu yang dinaikinya dirempuh sebuah kereta api di laluan berhampiran Kilang Fat Choi, Kilometer 137.3, TENOM pada tengah hari tadi.

Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan tangan kiri dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Tenom, Superintenden Azmir Abd Razak berkata, kejadian berlaku ketika kereta api yang membawa gerabak kosong dalam perjalanan dari Pangi menuju ke Stesen Kereta Api Tenom.

Menurutnya, ketika melalui kawasan terowong yang gelap, pemandu kereta api berusia 34 tahun itu secara tiba-tiba ternampak sebuah troli kayu yang dinaiki mangsa berada di atas landasan menghala ke Tenom.

Menyedari kehadiran troli berkenaan pada jarak dekat, pemandu bertindak membunyikan hon dan menekan brek bagi mengelakkan pelanggaran.

Bagaimanapun keadaan landasan yang licin menyebabkan kereta api berkenaan gagal dihentikan sepenuhnya sebelum merempuh troli tersebut.

Akibat pelanggaran itu, troli kayu berkenaan diseret kira-kira 15 meter sebelum kereta api berjaya dihentikan.

Pemeriksaan selepas kejadian mendapati mangsa berada di bawah bahagian kereta api dan tidak dapat dikeluarkan dengan segera.

Pemandu kemudian mendapatkan lokasi yang mempunyai liputan telefon di kawasan bukit berhampiran sebelum menghubungi Balai Polis Tenom bagi mendapatkan bantuan.

Mayat mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tenom kira-kira jam 1.50 petang.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tenom untuk tindakan lanjut.

Siasatan awal mendapati kereta api berkenaan tidak membawa penumpang ketika kejadian dan hanya dinaiki pemandu serta seorang pembantu pemandu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 56 dan 57 Enakmen Kereta Api 2017.

Share This Article