PROGRAM OUTREACH KETUA MENTERI BERSAMA NGO DAN USAHAWAN MUDA SABAH BAGI KAWASAN PARLIMEN P.184 LIBARAN

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 6 MEI – Program Outreach YAB Ketua Menteri bersama NGO dan usahawan muda Sabah bagi kawasan Parlimen P.184 Libaran telah berlangsung pada petang kelmarinbertempat di Pavilion Hotel, Sandakan.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh wakil kepada YB Datuk Haji Hazem Mubarak Bin Tun (Dr) Musa, ADUN N.51 Sungai Manila, iaitu Tuan PPM Rahmat Iskandar Bin Ibrahim.

Dalam ucapan perasmian, beliau menyampaikan bahawa dasar kerajaan yang dibentangkan oleh Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah ketika merasmikan penggal pertama Sidang Dewan Undangan Negeri pada 23 April lalu menunjukkan keupayaan serta daya tahan kerajaan sepanjang tempoh lima tahun dalam memastikan Sabah terus maju dan membangun.

Menurut beliau, kesungguhan kerajaan turut dizahirkan melalui peruntukan sebanyak RM12.024 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang membuka peluang luas kepada rakyat khususnya golongan belia.

Beliau turut menegaskan bahawa generasi muda tidak akan dipinggirkan dalam arus pembangunan negeri. Sebaliknya, mereka perlu memanfaatkan setiap peluang yang disediakan dengan meningkatkan usaha serta komitmen dalam pelbagai bidang.

“Generasi muda merupakan aset penting negeri ini dan bakal menjadi penerus kepimpinan yang akan membawa Sabah ke arah kemajuan yang lebih cemerlang,” katanya.

Kerajaan negeri di bawah kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga komited dalam memperkasakan pembangunan belia melalui pelbagai inisiatif termasuk bantuan pendidikan, keusahawanan serta penyediaan perumahan.

Tambah beliau, antara bidang yang diberi keutamaan dalam RMK-13 termasuk sektor pertanian, pelancongan dan perindustrian yang menyediakan pelbagai peluang kepada generasi muda untuk berjaya.

Dalam masa yang sama beliau turut menggalakkan golongan belia untuk menceburi bidang penternakan, termasuk peluang yang disediakan oleh Kumpulan Sawit Kinabalu, tertakluk kepada syarat dan kelayakan yang ditetapkan.

Justeru beliau menyeru generasi muda agar merebut peluang yang tersedia demi mencapai kejayaan dan masa depan yang lebih gemilang.

Share This Article