TENOM,3 MAC-Sebuah keretapi yang dalam perjalanan dari Tenom ke kampung pangi dilaporkan hilang kawalan lalu merempuh empat buah motorsikal troli yang diletakkan di atax landasan di batu 11 pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu kereta api yang dalam perjalanan dari Tenom menuju Kampung Pangi dilaporkan hilang kawalan sebelum merempuh kenderaan berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abdul Razak, insiden berlaku di landasan kereta api Batu 11, laluan Tenom–Pangi.
Beliau berkata, susulan kejadian banjir dan tanah runtuh di pertengahan laluan Tenom–Pangi, perkhidmatan kereta api ketika ini hanya beroperasi sehingga Batu 11 sahaja.
Keadaan itu menyebabkan penduduk yang tinggal lebih jauh terpaksa menggunakan alternatif lain termasuk motosikal troli atau berjalan kaki bagi meneruskan perjalanan.
Difahamkan beberapa penduduk meletakkan motosikal troli mereka di atas landasan sementara menunggu ahli keluarga yang tiba dengan kereta api.
Bagaimanapun tren berkenaan dilaporkan mengalami kegagalan sistem brek dan gagal berhenti sebelum merempuh empat motosikal troli terbabit.
Seorang lelaki dilaporkan mengalami kecederaan ringan dalam kejadian itu dan menerima rawatan lanjut.
Setakat ini, keadaan dilaporkan terkawal dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Polis kini menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden berkenaan.
Orang ramai diingatkan supaya tidak menggunakan motosikal troli di landasan aktif demi keselamatan selain memastikan semua langkah keselamatan dipatuhi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang.
TAMAT
