sh@ editor
KOTA KINABALU (8JULAI): Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi penggal ke-16 berakhir hari ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mengesahkan perkara itu kepada media di lobi bangunan DUN di sini.
Pengesahan itu sekaligus bakal memberi laluan kepada PRN Ke-17.
Bagaimanapun Hajiji masih berteka-teki mengenai bila dan tarikh pilihan raya negeri akan diadakan.
Beliau meminta semua pihak bersabar mengenai tarikh pembubaran DUN.
” Kira-kira begitulah tu …tarikh pembubaran DUN saya tidak boleh bagi sekarang tunggu kalau kita sudah tetapkan nanti kita panggil semua kawan-kawan dariapda media untuk kita umumkan bila tarikhnya sabar tidak lama lagi,” katanya.
Sambil berseloroh Hajiji berkata: “Janganlah tanya bulan, tidak akan automatik janganlah automatik tu terpulang Ketua Menteri nanti saya mimpi dulu bila tarikh paling baik.”
Ditanya mengenai pembahagian kerusi menjelang PRN-17, Hajiji berkata perbincangan mengenainya sedang diperhalusi dan pertemuan dengan rakan parti politik perlu dimuktamadkan sebelum DUN dibubarkan.
Hajiji juga tegas dan konsisten mengenai pendirian kerjasama politik yang seiring dengan asas kerjasama kerajaan sedia ada iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH).
“Perbincangan sedang diperhalusi…kita sudah mengadakan satu dua pertemuan dengan kawan-kawan yang perlu kita akan muktamadkan nanti sebelum kita bubar DUN.
“Yang jelas sekarang, kerajaan sekarang kerajaan GRS-PH itu asas kita yang lain nanti kita tengok macam mana,” katanya.
Sebelum ini, Hajiji memberi bayangan bahawa DUN Sabah akan dibubarkan selepas Perhimpunan Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) yang dijadualkan pada akhir Julai ini.
Bagaimanapun, Presiden Gagasan Rakyat itu berkata, tiada tarikh ditetapkan setakat ini untuk pembubaran DUN, meskipun timbul spekulasi ia akan dilakukan pada penghujung Julai atau awal Ogos.
Terdahulu, Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya berkata DUN Sabah dijangka terbubar secara automatik pada 11 November 2025, sekiranya tiada pembubaran lebih awal dilakukan.
Pembubaran itu katanya selaras dengan Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri Sabah yang menetapkan bahawa DUN akan terbubar dengan sendirinya lima tahun selepas tarikh pertama persidangan selepas pilihan raya negeri.
Tamat
